Sunday, July 24, 2011

FHS :Cabaran 50 Buku : (5) Quartet





FHS :Cabaran 50 Buku : (5) Quartet
Tajuk: Quartet
Pengarang: Saidatul Saffa
Penerbit: Jemari Seni
Muka surat: 471 muka

Sinopsis belakang novel:

Ini kisah sekeping hati yang dicalit empat rona indah
sayangnya dia terlupa yang pelangi itu
jalurannya tujuh;
dan salju pula jadi cair dipanah mentari
lalu berguguran dihembus bayu luruh.

Ini kisah sekeping hati yang berkali-kali diuji,
takkan bercahaya pelangi sebelum hujan,
takkan bersinar indah bintang-bintang,
tanpa gelap malam.

Komentar saya:

Pada hemat saya, Quartet adalah sebuah karya yang harus di miliki oleh para remaja perempuan di luar sana. Quartet agak berlainan kerana ia mengisahkan watak seorang perempuan atau wanita yang mudah jatuh hati pada lelaki. Biarpun Rumaisa (watak utama) kurang ilmu pengetahuannya tentang agama,namun apabila bab memilih teman hidup dia memilih yang dapat membimbingnya menuju redha Allah.

Sungguh tersentuh hati saya. Saidatul Saffa bijak menggarap Quartet. Pada Rumaisa saya letakkan diri saya. Quartet bakal menyedarkan para pembacanya terutama wanita untuk berusaha memperbaiki diri untuk menjadi muslimah yang baik. Kadang-kadang kita alpa dengan segala keindahan duniawi. Lantas kesenangan ukhrawi kita lupakan. Kita mengharap agar ada insan yang membimbing kita ke jalan Allah.

Saya juga begitu, acapkali berdoa agar di temukan dengan insan yang dapat membimbing saya. Mungkinkah kita juga harus berusaha untuk menjadi yang terbaik andai mahu yang insan terbaik hadir dalam hidup kita? Ya, itu lah jawapan yang saya dapat setelah membaca Quartet. Jangan pernah kita lalai meluahkan dan meminta dengan Allah. Kerana Allah itu sifatnya tidak tidur dan Maha Mendengar.

Justeru, saya mencadangkan Quartet di jadikan salah satu naskah novel ilmiah yang santai kepada sahabat sekalian. Hal ini keran Quartet penuh dengan kata-kata hikmah dan terjemahan potongan ayat Al-Quran yang dapat kita jadikan panduan dan bekalan dalam menempuh hidup yang serba mencabar ini. Insya Allah.

^_^
Selamat Membaca

Friday, July 8, 2011

FHS :Cabaran 50 Buku : (4) Keranamu Ain



Kita telah terlalu lama membuang masa dan merana...


FHS :Cabaran 50 Buku : (4) Keranamu Ain
Tajuk: Keranamu Ain
Pengarang: Noor Suraya
Penerbit: Creative Enterprise Sdn. Bhd
Muka surat: 273 muka

Ringkasan belakang novel:

Dia pintar dan kadang-kadang garang tetapi menarik. Dia penyayang dan kadang-kadang terlalu sensitive tetapi pemaaf. Yang pasti Ain ialah insan dalam dunia dengan gayanya yang tulen. Anggun dalam darjahnya yang tersendiri. Indah dalam peribadinya yang sempurna...
…………………………………….
Ain Najwa
                Dia seorang gadis polos namun punya karismanya yang tersendiri. Dia seorang gadis yang tabah walaupun kehilangan bapa tercinta ketika zaman persekolahan dan ibu ketika tahun pertama di universiti. Biarpun sebatang kara, dia masih punya Maisarah teman rapatnya zaman persekolahan hingga sekarang. Dalam hatinya juga ada seorang insan yang bertakhta dalam hatinya. Namun rahsia itu kejap tersimpan jauh dilubuk hati seorang Ain Najwa. Bekerja di Baki Publishing pada mulanya perit bagi Ain berhadapan dengan Haris-anak bos yang prejudis terhadap wanita selepas pengalaman yang di lalui. Ain Najwa tetap bertahan kerana Pak Baki majikannya dan isterinya Puan Aisyah menganggap dia sebahagian keluarga besar mereka. Tambahan pula mereka merupakan kenalan lama ayah Ain. Ain sering dilimpahi kasih sayang mereka sekeluarga. Adakah Haris termasuk dalam memberi kasih dan sayang kepada seorang Ain Najwa?

Haris
                Haris anak bongsu Pak Baki punya seorang anak perempuan-Farah. Dia ditinggalkan Nurlaila yang memilih lelaki lain sebagai suaminya. Luluh hati Haris lalu menutup hatinya terhadap wanita. Namun kehadiran si manis Ain Najwa sedikit demi sedikit membuka hatinya untuk wanita kembali. Ya, Nurlaila pilihan Haris; Zura pilihan mak-Puan Aisyah; dan Ain Najwa pilihan Haris dan Mak. Sudikah Ain Najwa menerima Haris sebagai teman hidup?

Komentar saya:

                Pada hemat saya novel ini menyentuh hati perempuan saya. Ain Najwa itu seperti diri saya pada bahagian yang tertentu. Ya bahagian yang menyimpan rahsia dan suka menulis itu. Baiklah, dalam novel ini Ain menonjolkan watak yang tabah, sabar dan seorang yang mudah mengalah demi orang yang dia sayang. Biarpun hati Ain melara, namun demi Maisarah sahabat baiknya cintanya pada Adam di pendam jauh ke lubuk hati yang dalam.

                Selain itu, novel ini ada menceritakan serba sedikit sikap Haris yang terlalu prejudis terhadap wanita selepas di tinggalkan Laila. Seharusnya sebagai insan kita perlu bersangka baik dengan insan yang berada di sekeliling kita. Jangan kita terus mengadili atau melabel seseorang yang pertama kali bertemu dengan kita berdasarkan pengalaman lalu .

                Novel Keranamu Ain ini pasti menyentuh hati wanita yang semestinya lembut, sensitif namun pemaaf dan bertimbang rasa. Insan yang bergelar lelaki juga tidak rugi membaca novel ini supaya lebih memahami wanita.

Selamat Membaca
^_^

FHS :Cabaran 50 Buku : (3) Sekolah Hidup




FHS :Cabaran 50 Buku : (3) Sekolah Hidup
Tajuk: Sekolah Hidup
Pengarang: Hasidah Disan
Penerbit: UTUSAN PUBLICATIONS & DISTRIBUTORS SDN BHD
Muka surat: 167 muka

Sinopsis belakang novel:

Bahagia - kata yang demikian mujarad-puncaknya bukan di atas takhta menteri. Tuhan Maha Adil mengurniakan bahagia kepada semua yang mengingininya, memburu, menjulangnya- bahagia. Sekolah hidup mengajar Muslina dan Ridhuan dan Rahimah dan Rahilah dan Radiah dan Nora dan Wahid dan Adibah dan Norfauzi dan Juliah dan Roslan dan Siu Land an Kok Fatt dan … dan … dan … mentakrif makna bahagia dalam gelombang ceria dan duka, kasih dan pedih.

Sekolah hidup,tanpa daftar dengan kehadiran wajib bagi insan yang bernyawa, mahu ataupun tidak !
……………………….

Muslina
Gadis desa yang berkulit hitam manis, datang dari sebuah keluarga yang mendidik anak-anak dengan ketegasan  dan disiplin. Demi patuh kepada kedua ibu bapanya Meli di terima sebagaia tunangannya. Namun ketentuan Ilahi pertunangan itu terputus di tengah jalan. Ridhuan datang meminang dan mereka membina mahligai perkahwinan bersama 3 orang anak angkat.

Ridhuan
Seorang suami yang sangat memahami isi hati seorang isteri. Ridhuan bijak mengambil hati Muslina yang sensitif apabila isu anak di bicarakan. Ridhuan suami yang ‘sporting’, dapat menerima kawan-kawan Muslina dan keluarga mereka sebagai kawannya juga. Biarpun bekerja sebagai petani beliau tetap mampu memberi wang ringgit dan kasih sayang yang melimpah ruah kepada keluarganya.

Komentar saya:

                Pada hemat saya karya Hasidah Disan ini memberi maksud yang sangat mendalam terhadap pembaca. Sebagai insan di atas bumi Allah ini, kita kurang sedar bahawa kita merupakan pelakon dan pelajar. Ya, kita sebenarnya belajar ilmu kehidupan seharian. Pelajaran kehidupan itu mampu mematangkan kita mahupun melemahkan kita.

                Novel Sekolah Hidup ini wajib di baca oleh rakan-rakan di luar sana. Hal ini kerana novel ini menerapkan pelbagai nilai murni yang harus di jadikan pedoman. Antaranya ialah nilai persahabatan, sabar, kekeluargaan dan sebagainya.

Nilai persahabatan di tunjukkan oleh Muslina, Nora, Adibah dan Juliah. Bersekolah dan membesar bersama-sama menjadikan mereka begitu rapat seperti adik beradik kandung. Namun mereka tetap perlu berpisah setelah berkahwin dan bekerja. Biarpun begitu mereka sering berbalas surat dan berkongsi rahsia hati.

                Aspek sabar juga diketengahkan dalam novel ini. Hal ini dapat dilihat apabila Muslina masih tidak mempunyai zuriat walau telah berkahwin lama. Biarpun telinga mereka panas dengan asakan soalan dan tohmahan mulut sekeliling, namun mereka tetap bersabar dan bersyukur kerana telah di kurniakan Rahilah, Rahimah dan Radhiah-anak angkat mereka.

                Oleh itu, saya syorkan kepada rakan-rakan untuk memiliki naskhah novel ini sebagai koleksi anda. Sesungguhnya dengan membaca dapat menambah ilmu pengetahuan kita.

Selamat Membaca!
^_^